Lari masuk hutan tinggal 765kg minyak masak subsidi

Iklan
Operasi yang dijalankan sekitar jam 3.15 petang itu bermula di Lebuh Raya Tanah Merah-Jeli selepas anggota pasukan PGA terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

TANAH MERAH - Seorang penyeludup nekad melarikan diri ke dalam hutan dengan meninggalkan 765 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi apabila kenderaan yang dipandu diekori oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Kampung Air Asahan, Kampung Batu Gajah di sini pada Khamis.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 3.15 petang itu bermula di Lebuh Raya Tanah Merah-Jeli selepas anggota pasukan PGA terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, menyedari tindakan itu berjaya dihidu anggota penguat kuasa, lelaki terbabit terus bertindak menghentikan kenderaan tersebut.

"Suspek kemudian terus bertindak melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran selepas meninggalkan kenderaan di sebelah sebuah premis perniagaan di Kampung Air Asahan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan, kami telah menemui anggaran 765kg minyak masak bersubsidi, yang disyaki untuk tujuan penyeludupan," katanya pada Jumaat.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,912.50, termasuk kenderaan yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Iklan

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan semua barangan yang disita akan diambil tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Azman memberitahu, KPDN memberi amaran tegas bahawa usaha menangani penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak akan terus dipertingkatkan, dan tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam aktiviti ini.