Masih ada penjualan petrol Malaysia di selatan Thailand - KPDN Perlis

Iklan
Gambar hiasan.

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis tidak menafikan terdapat kegiatan penjualan petrol bersubsidi yang diseludup dari Malaysia berlaku di Selatan Thailand meskipun kes berkenaan terpencil.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Perlis, Hasbullah Abd Rashid berkata, walaupun kes yang berlaku adalah terpencil, namun pihaknya bersama agensi penguat kuasa lain terus memantau situasi berkenaan melalui perkongsian maklumat.

Beliau berkata, kegiatan berkenaan berlaku kemungkinan daripada kenderaan Malaysia yang memasuki negara jiran menjual bahan api itu secara pindahan, sama ada dari tangki kenderaan sedia ada atau diubah suai.

Iklan

"Bagaimanapun, perkara ini susah kita nak kesan. Operasi statik dengan menempatkan anggota penguat kuasa di stesen minyak komersial terutamanya berhampiran sempadan, mendapati tiada kes pembelian berulang daripada kenderaan tempatan.

"Pemilik stesen minyak pun faham dan beri kerjasama kepada pihak penguat kuasa,” katanya kepada Bernama.

Iklan
Tinjauan Bernama dari Padang Besar di Wilayah Songkhla, Selatan Thailand hingga kawasan kampung berdekatan kira-kira 10 kilometer, mendapati terdapat penduduk menjual disyaki petrol dari Malaysia, dalam botol di tepi jalan termasuk di hadapan rumah, kedai runcit dan kedai makan.

Terdapat enam lokasi penjualan bahan api berkenaan yang dijual pada harga antara 30 baht (kira-kira RM3.89) dan 35 baht (kira-kira RM4.54) seliter yang dimasukkan dalam botol berbanding harga semasa bahan api itu di Thailand 35.45 baht seliter (kira-kira RM4.60).

Walaupun isu penjualan bahan api itu di negara jiran di luar bidang kuasa pihaknya namun Hasbullah berkata KPDN terus mempertingkatkan kawalan dari semasa ke semasa di pintu masuk sempadan negara di Padang Besar dan Wang Kelian, bagi menangani masalah ketirisan subsidi petrol oleh kerajaan.

"Kita kawal ketirisan mungkin berlaku dari dalam negara melibatkan tindakan khusus antaranya penempatan anggota penguat kuasa di pintu masuk keluar ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) pada masa-masa tertentu yang berisiko.

"Selain itu, di stesen-stesen minyak seluruh negeri Perlis serta di kampung-kampung yang tersembunyi, perkongsian maklumat dengan kerjasama daripada pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) serta bantuan kuasa menahan kenderaan disyaki oleh PDRM dan Kastam di ICQS,” katanya.

Sementara itu, Hasbullah berkata, kes penyeludupan keluar barangan kawalan dan bersubsidi ke negara jiran dari Perlis merekodkan penurunan kepada 91 kes bagi tempoh Januari hingga kini, berbanding 196 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Sehingga kini, sebanyak 9,129 pemeriksaan telah dilaksanakan dan jumlah rampasan daripada 91 kes adalah berjumlah RM1,194,423.80. Berbanding 2023, bagi tempoh sama, nilai rampasan berjumlah RM4,460,08.00 daripada 196 kes,” katanya.

Hasbullah berkata, sejak 1 Jan tahun ini, KPDN Perlis melaksanakan Ops Tiris 3.0 yang diperluaskan skop pelaksanaan meliputi barangan kawalan lain seperti gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak, tepung gandum, petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

"...omnipresence dan pemeriksaan juga dilaksanakan terutamanya di lapan buah stesen minyak berhampiran sempadan selain daripada 39 buah stesen minyak di seluruh negeri Perlis,” katanya. - Bernama