SHAH ALAM - Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menjalinkan kerjasama akademik bersama University Network for International Education, Hanyang University dan Seoul National University of Science and Technology, Korea Selatan bagi memperkukuh pendidikan antarabangsa.
Naib Canselor UPTM, Profesor Madya Sharifah Syahirah Syed Shiekh berkata, kerjasama itu akan meningkatkan prestasi mereka di peringkat global.
"Kami sentiasa percaya kepada kuasa kerjasama antarabangsa untuk meningkatkan lagi kedudukan akademik dan mencipta pengalaman pembelajaran yang luar biasa khususnya kepada pelajar kami.
"UPTM meramalkan akan ada peningkatan pertukaran pelajar dan fakulti selain mendapat manfaat persekitaran akademik yang berbeza serta kepelbagaian budaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut Sharifah Syahirah, rangkaian kerjasama antarabangsa dapat mempromosikan perkongsian akademik, penyelidikan dan kepakaran terutamanya dalam bidang teknologi, inovasi serta pendidikan.
Tambah beliau, UPTM sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi pendidikan dari beberapa negara seperti CUI Ixtlahuaca, Mexico, Universiti Hong Kong, Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Politeknik Xiangyang, China dan Universiti Sains Andalus, Syria dan kampus cawangan Turki.
"Hasilnya melalui program mobiliti pelajar dari Hong Kong dan Mexico berpeluang terlibat dalam pertukaran akademik dan meneroka budaya masyarakat Malaysia di UPTM.
"UPTM juga berhasrat untuk memperluas kerjasama dengan institusi dari Indonesia, Thailand, Algeria dan Timor Leste, termasuk Universitas Semarang dan Universitas Borobudur,” katanya.