Pemandu maut, dua lagi parah nahas empat kenderaan

Iklan
Keadaan kereta Perodua Bezza yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 56.7 Lebuhraya Senai Desaru pada Khamis.

KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam nahas melibatkan empat kenderaan di kilometer 56.7 Lebuhraya Senai Desaru di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 7.10 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan terbabit melibatkan kereta jenis Perodua Bezza, motosikal Y15ZR, lori jenis Scania dan kenderaan pelbagai guna, (MPV) Perodua Alza.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Bandar Penawar telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori Scania.

Iklan

"Akibat pertembungan itu menyebabkan lori yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 47 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan hingga bergesel dengan MPV Perodua Alza yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 58 tahun.

"Kereta Perodua Bezza yang bertembung dengan lori jenis Scania tadi pula telah berpusing dan mengenai motosikal yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun," katanya.

Iklan

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang penumpang kereta terbabit serta penunggang motosikal Y15ZR mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi menerima rawatan.

Dalam pada itu, Yusof berkata, pemandu lori dan pemandu Perodua Alza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat yang dapat membantu siasatan polis diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Hafizi Said di talian, 017-9252768.