Tiada kompromi warga PDRM terlibat salah laku, jenayah - KPN

Iklan
Razarudin memeriksa barisan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober anjuran JSJN di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto: PDRM

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi amaran keras dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dengan salah laku atau perbuatan jenayah.

Razarudin berkata, peringatan keras diberikan kepada seluruh warga PDRM berhubung mana-mana penglibatan pegawai polis dalam salah laku jenayah, dadah dan disiplin yang dilihat semakin meruncing.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bukan sahaja gagal dalam penyeliaan, malah ada pegawai yang turut sama terlibat dalam kes jenayah sepertimana kejadian seorang Asisten Superintenden bersama enam pegawai rendah polis yang ditahan kerana melakukan pemerasan dan cabul ke atas seorang wanita semasa siasatan kes narkotik.

Menurut beliau, semua warga PDRM harus mengambil iktibar dan peringatan atas apa yang berlaku.

Iklan

"Kepimpinan di semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan melibatkan semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau.

"Tindakan sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati melanggar peraturan dan disiplin yang telah ditetapkan," katanya pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa ucapan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara (KPN) bagi bulan Oktober anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Razarudin (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada seorang pegawai PDRM pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto: PDRM.

Dalam majlis tersebut, Razarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 40 pegawai polis dan pegawai awam yang telah mempamerkan prestasi perkhidmatan cemerlang.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan mengesan salah laku pegawai polis.

Tegasnya, beliau secara peribadi tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua yang terlibat dalam isu salah laku yang memberi imej buruk kepada pasukan.

Justeru katanya, satu penyeliaan secara 'close monitoring' perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan antaranya melalui pelaksanaan ujian saringan awal urin secara berkala.

Selain itu beliau berkata, penyelia perlu memantau pegawai yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan.

Razarudin berkata, tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya terkesan penglibatan dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, mahupun lain-lain kesalahan yang berkaitan.

Jelas beliau, kepincangan yang berlaku tidak harus dipandang remeh, malah perlu dijadikan iktibar dan dipastikan tidak lagi berulang.

"Arahan dan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa perlu diamati, dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa diperingatkan kepada semua," ujarnya.