Situasi bola sepak Kedah membimbangkan

Iklan
Jualan tiket secara dalam talian aksi Liga Super 2024-2025 di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC setakat pagi Jumaat. - Foto: KDA FC

JUALAN tiket aksi Liga Super 2024-2025 di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC yang tidak memberangsangkan pada perlawanan Sabtu ini disifatkan sebagai membimbangkan.

KDA FC melalui Facebook rasminya memaklumkan jualan dalam talian hanya terjual 166 tiket setakat pagi Jumaat dan jumlah itu sedikit meningkat berbanding 43 tiket pada Khamis.

Iklan
Iklan

Perkara itu turut mendapat perhatian UMNO Kedah yang menyifatkan situasi berkenaan membawa satu petunjuk bahawa peminat sudah muak dan tidak lagi menaruh harapan kepada pasukan bola sepak negeri.

Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, bola sepak negeri ini perlu diselamatkan dengan kadar segera dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu segera membantu menyelesaikan kemelut kewangan KDA FC.

Iklan

"UMNO Kedah sedia maklum akan beberapa siri pertemuan pengurusan KDA FC bersama Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Namun apa yang menjadi persoalan, maklum balas yang diperolehi hakikatnya hambar dan tidak meyakinkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Jelas Shaiful Hazizy, UMNO Kedah memohon agar semua pemegang taruh bola sepak Kedah seperti persatuan dan kelab-kelab penyokong bersatu hati memberi tekanan kepada Muhammad Sanusi untuk membantu KDA FC.

Sang Kenari dijangka melalui lima lagi aksi Liga Super iaitu tiga perlawanan pada Oktober dan dua perlawanan pada November.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kedah akan mempertimbangkan untuk membantu KDA FC yang masih berdepan kemelut tunggakan gaji yang didakwa memasuki tujuh bulan.

Muhammad Sanusi bagaimanapun berkata, sebarang bentuk bantuan perlu disalurkan menerusi KFA dan pengurusan KDA FC diminta mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan perkara itu.

"Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan KDA FC)," katanya.