Perdagangan Malaysia naik 10.2 peratus, melepasi paras RM2 trilion

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2024 meningkat 10.2 peratus kepada RM2.139 trilion, melebihi aras RM2 trilion dalam tempoh sembilan bulan berbanding 10 bulan pada 2023, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Iklan
Iklan

Sejajar dengan unjuran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), eksport di Asia dijangka meningkat sebanyak 7.4 peratus pada 2024.

MITI berkata, sehubungan itu, eksport Malaysia bagi sembilan bulan pertama 2024 berkembang sebanyak 5.2 peratus kepada RM1.115 trilion manakala import naik 16.1 peratus kepada RM1.024 trilion yang menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM91.21 bilion.

Iklan

"Pada September 2024, prestasi perdagangan Malaysia mengukuhkan lagi momentum peningkatannya, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun untuk bulan kesembilan berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MITI, perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM234.84 bilion berbanding tempoh sama 2023, disokong terutamanya oleh prestasi kukuh yang dicatatkan dalam sektor pertanian.

Iklan

Bagi tempoh sama, Malaysia mencatat eksport bernilai RM124.01 bilion manakala import sebanyak RM110.83 bilion yang menghasilkan lebihan dagangan bagi bulan ke-53 berturut-turut.

"Pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi barangan optik dan saintifik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

"Dari segi pasaran, kenaikan eksport yang ketara telah dicatatkan ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan,” katanya.

Eksport ke Taiwan, kata MITI, merekodkan nilai tertinggi setakat ini, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik terutama peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik. - Bernama