Setahun empat kali pindah kerana air pasang besar

Iklan
Kelihatan beberapa kediaman yang runtuh akibat dilanda masalah hakisan di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. Gambar kanan: Jeffrydin duduk di atas pangkin di hadapan rumahnya ketika ditemui pemberita di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut pada Khamis.

BESUT - Pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, di sini tidak dapat melupakan pengalaman berpindah sebanyak empat kali dalam tempoh setahun berikutan fenomena air laut pasang besar.

Jeffrydin Rashid, 52, berkata, kedudukan rumahnya yang bersebelahan pantai menyebabkan kediaman itu dilimpahi air sehingga mencecah 0.5 meter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, fenomena air pasang besar menjadi kembimbangan kerana ia datang dengan tidak dijangka.

"Kalau hujan lebat turun tidak berhenti dalam dua, tiga hari tu kita tak bimbang sangat, yang kita bimbang ialah air pasang besar yang datang secara tiba-tiba dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Iklan

"Pernah satu ketika waktu saya dan isteri sedang tidur dalam rumah, air naik mendadak. Syukurlah ketika itu kami sempat keluar ke tempat lebih selamat.

"Barang-barang dalam rumah terutama alatan elektrik memang tak sempat untuk diselamatkan kerana sudah dinaiki air," katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang Khamis.

Iklan

Menurut Jeffrydin, pada tahun lalu air pasang besar melanda pada Mac dimana ia naik mendadak selepas maghrib dan mula surut sekitar jam 12 tengah malam.

"Untuk persediaan tahun ini, saya dan isteri, Wan Suzana Wan Nazi, 60 sedia untuk berpindah pada bila-bila masa.

"Lagipun di kawasan ini memang disediakan pusat pemindahan sementara (PPS) yang memudahkan penduduk di sini berpindah sekiranya berlaku air pasang besar," katanya yang tinggal di situ sejak 30 tahun lalu.

Jeffrydin berkata, terdapat kira-kira tujuh buah rumah yang berada di kawasan berdekatan pantai di kampung tersebut.

Katanya, selain berdepan fenomena air pasang besar, mereka juga terpaksa berdepan masalah hakisan pantai yang berlaku saban tahun terutama pada musim tengkujuh.

Bagaimanapun, katanya, kebimbangan terhadap masalah hakisan agak berkurangan selepas kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak dijalankan di kawasan tersebut.

"Musim tengkujuh tahun ini kita jangka agak kurang sedikit berlaku masalah hakisan kerana telah ada benteng pemecah ombak di sini yang hampir siap dibina.

"Jadi, kita cuma berjaga-jaga sekiranya air naik secara mendadak terutama pada waktu tengah malam," ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu mengenal pasti sebanyak 41 buah kampung di Terengganu dijangka berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku malam Khamis lalu hingga 25 Oktober depan.

Menurutnya, kesemua kampung tersebut berisiko dinaiki air kerana terletak di 12 muara sungai utama di Terengganu.