KLUANG - Seorang pekerja pasar raya maut apabila terlibat dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 15, Jalan Benut-Simpang Renggam di sini, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan tersebut pada jam 8.10 pagi melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz, sebuah motosikal jenis SYM VF3I, dan sebuah motosikal Honda Wave.
"Hasil siasatan awal didapati Perodua Aruz dan motosikal jenis SYM VF3I dari arah Benut menghala ke Simpang Renggam.
"Semasa tiba di tempat kejadian iaitu persimpangan Jalan Salman, Perodua Aruz telah berhenti di persimpangan untuk masuk ke simpang sebelah kanan, tetapi dilanggar dari belakang oleh motosikal jenis SYM yang berada di lorong yang sama.
"Perlanggaran itu menyebabkan mangsa jatuh dari motosikal dan kemudiannya dirempuh pula oleh motosikal jenis Honda Wave yang datang dari arah Simpang Renggam," katanya.
Menurutnya, akibat mangsa telah mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bahrin berkata, pemandu Perodua Aruz tidak mengalami apa-apa kecederaan, manakala penunggang Honda Wave pula mengalami kecederaan di bahu, badan dan dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.