Belanjawan 2025: SST lebih progresif mulai 1 Mei 2025

Iklan
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam mulai 1 Mei depan.

Menurutnya, cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat.

Beliau berkata, cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avocado.

"Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

"Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.

Ujarnya, sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.