Lima perkara penting berkait kehidupan rakyat dalam Belanjawan Madani Ketiga 2025

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat, pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan Madani Ketiga 2025 dengan mengimbau lima perkara penting yang berkait dengan kehidupan rakyat.

Lima perkara tersebut ialah perihal menelusuri Ekonomi Madani; mengislah lebih tegas; menghapus kerenah birokrasi; menaikkan gaji dan pendapatan; serta menangani kos sara hidup.

Iklan
Iklan

"Walhasil, segala ikhtiar yang dibentang hari ini adalah untuk menyusul setiap petanda aras Ekonomi Madani dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan selain merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.

Iklan

Justeru beliau berkata kerangka pokok adalah untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar dengan mengambil kira perkembangan dan cabang pembelajaran yang baru serta tuntuan zaman.

"..tetapi mesti tidak terlepas daripada tonggak utama, yakni untuk menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan dan kesihatan. Itulah juga menjadi sebahagian besar kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang telah kita luncurkan dan kita bertekad serta beriltizam untuk, meneruskan agenda reformasi,” katanya.

Iklan

Ketika memulakan ucapan Belanjawan itu, Anwar turut menyentuh mengenai kunjungannya menemui rakyat di beberapa negeri untuk melihat dan mendengar sendiri permasalahan yang dialami penduduk sekali gus membantu merangka Belanjawan Madani Ketiga 2025.

Antaranya kunjungan beliau di Felda Lahad Datu, Sabah, dua bulan lepas termasuk memantau daerah yang pernah terancam dengan pencerobohan pengganas di Tanduo.

"Segar kembali kisah insiden tersebut, pengorbanan perajurit, dukungan dan kesabaran rakyat. Perajurit dari Semenanjung terkorban seperti juga perajurit dari Sabah dan Sarawak yang terkorban di Semenanjung.

"Masalah tanah adat berbangkit dan berakhir dengan penyelesaian kepada penduduk Tambisan. Saya turut berjanji kita memenuhi keperluan Sekolah Kebangsaan di sana,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut membuat kunjungan di Pasar Khadijah, Kelantan bagi melihat keadaan pasar yang daif; di Kapit, Sarawak, bagi meninjau kemajuan beberapa projek pembangunan di daerah yang terpencil dan miskin; serta di Alor Setar, Kedah, bagi melihat keadaan musibah banjir yang memusnahkan tanaman penduduk.

Beliau berkata kunjungan menemui rakyat di akar umbi amat mengesankan malah membuatkan beliau memahami masalah rakyat dalam merangka Belanjawan tahun ini.

"Kita menyaksikan sendiri permasalahan rakyat akibat hakisan dan banjir, pendidikan, kesihatan dan dampak sosial. Permasalahan yang ketara ini, jika ditelusuri, adalah microcosm dari permasalahan yang lebih luas,” katanya. - Bernama