PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret di sini menetapkan 25 November untuk sebutan kes ugutan jenayah, melibatkan seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berikutan permohonan supaya tuduhan itu dikaji semula.
Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Mohamad Riza Makar memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Kami memohon kajian semula terhadap tuduhan tersebut kerana kami percaya tiada elemen jenayah,” katanya ketika dihubungi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman tidak mengemukakan bantahan.
Boestaman berkata Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian mentetapkan 25 November ini untuk sebutan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan mengemas kini mahkamah mengenai status representasi itu.
Pada 18 September lepas, Mohamad Riza, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 September.
Dia didakwa telah menakutkan secara jenayah seorang wanita berusia 25 tahun dengan niat menyebabkan kegentaran, di tempat letak kenderaan di Presint 4, di sini, kira-kira 10 malam pada 9 September.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Mahkamah telah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, Mohamad Riza diarah menyerahkan pasportnya dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai. - Bernama