Belanjawan 2025: Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula

Iklan
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lebih 3,000 undang-undang lapuk di negara ini perlu dikaji semula supaya seiring dengan peredaran masa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, oleh itu kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950.

Iklan
Iklan
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama

"Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna pada mesyuarat akan datang.

"Sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan juga akan terus memperkasakan institusi kehakiman sebagai badan bebas.

Kata beliau, lebih RM60 juta disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital.

Iklan

"Entiti kerajaan dengan peranan hampir sama telah dipusatkan bagi memastikan mandat penubuhan ditunaikan dengan lebih efektif.

"Ini termasuk penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM); Perbadanan InvestKL dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA); Razak School of Government (RSOG) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); serta Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” ujarnya.

Menurutnya, terkait tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) pula Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola BBP telah disediakan supaya badan berkanun mencapai tujuan penubuhan dan tidak tersasar daripada tujuan asal.

Jelasnya, Pejabat Penyelaras Rasionalisasi BBP turut ditubuhkan bagi menelusuri semula hala tuju BBP, keupayaan kewangan serta pertindihan peranan.

"Sekitar 544 entiti di bawah ekosistem BBP terlibat dan turut diperluas merangkumi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG),” katanya.