Belanjawan 2025: Beg dokumen saya hasil seni pereka tempatan Kelantan - PM

Iklan
Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa beg berisi dokumen pembentangan Bujet 2025 hasil pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

KUALA LUMPUR - Semua kementerian dan jabatan terlibat dengan penganjuran aktiviti, perlu memperoleh kraf tangan yang boleh mengetengahkan kehalusan, keunikan serta keaslian hasil tangan pengusaha anak tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bagi menyokong penggiat industri tersebut sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti semua negeri.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh, beg dokumen yang saya gunakan hari ini ialah kerja seni tenunan songket hasil pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan.

"Saya berharap penganjuran ini dapat menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraf tangan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Iklan

Ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan, Kepengerusian ASEAN 2025 peluang terbaik negara mengemudi ASEAN berpandukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Justeru menurutnya, kerajaan berpegang teguh kepada pendekatan bersama dalam memahat agenda pembaharuan di peringkat ASEAN termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan bersempadan dengan negara tetangga.

Iklan

"Tentunya mencabar untuk melunas amanah besar pada detik ini, apalagi ASEAN teruji dengan persaingan kuasa-kuasa besar, isu Laut China Selatan, krisis Myanmar, hal keterjaminan makanan serta perubahan iklim.

"Atas kelebihan yang ada, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bersama China buat julung kalinya,” menurutnya.