Belanjawan 2025: Malaysia raih pelaburan AS$16.9 bilion daripada syarikat gergasi teknologi

Iklan
Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion daripada syarikat gergasi teknologi dunia AWS, Microsoft, Google dan Oracle untuk tempoh sehingga tahun 2038.

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion daripada syarikat gergasi teknologi dunia Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Google dan Oracle untuk tempoh sehingga tahun 2038.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi prasarana awan serantau.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau menggesa syarikat tempatan agar merebut peluang pelaburan berkenaan demi manfaat rakyat.

"Sekarang ialah masa syarikat tempatan merebut peluang pelaburan ini. Manfaat haruslah sampai kepada rakyat meliputi peluang pekerjaan, pembangunan pusat kecemerlangan dan pemerkasaan masyarakat.

Iklan

Tambah beliau, Malaysia juga mengambil langkah berani untuk menjuarai ekonomi digital serantau melalui pengisytiharan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe) yang turut dianggotai negara jiran dalam usaha menggembleng kepakaran dan keselamatan AI di negara masing-masing.

Ujar beliau lagi, ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025, kerajaan bercadang perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Iklan

"Kerajaan juga bercadang melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat awal tahun hadapan bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

"Hasil kutipan levi ini akan disalurkan semula kepada industri bagi merekayasa proses perniagaan ke arah automasi dan mekanisasi,” katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi Geran Padanan Digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Geran Digital Penjaja di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.

"RM100 juta juga disediakan oleh SKMM untuk tempoh lima tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian,” katanya.