Tiga penunggang Honda EX5 maut kemalangan di LPT2

Iklan
Kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai bergesel dan kedua penunggang tercampak di atas jalan.

KEMAMAN - Tiga penunggang motosikal jenis Honda EX5 maut dalam dua kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, pada Jumaat.

Ketiga-tiga mangsa itu dipercayai dalam perjalanan menyertai perhimpunan pemilik motosikal Honda EX5 yang berlangsung di Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dua mangsa iaitu Mohamad Alif Haikal Mohd Razali,18 dari Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dan Muhammad Aliff Haiqal Abdullah, 23, dari Kampung Alai Melaka, maut apabila motosikal ditunggang mereka dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terbabas.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan menyertai perhimpunan pemilik motosikal Honda EX5 yang berlangsung di Kuala Terengganu.

Menurutnya, kejadian menimpa dua pekerja kedai makan itu berlaku di Kilometer 322.4 dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu, dekat Kertih, di sini kira-kira jam 6.35 pagi.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal dinaiki mangsa bergesel sesama sendiri sebelum kedua-duanya terbabas lalu tercampak di atas jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, satu lagi kemalangan berlaku sekitar jam 11.50 pagi hari yang sama di Kilometer 316.8 menghala ke Kuala Terengganu, dekat Kertih, di sini.

Katanya, mangsa, Nur Hamizul Abu Bakri, 22, yang beralamat di Kampung Ulu Slim, Slim River, Perak dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Mangsa yang cedera parah telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Menurut Hanyan, dua nahas tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.