Belanjawan 2025: Kerajaan sedia dana RM100 juta pacu sektor kewangan Islam

Iklan
Anwar membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyediakan dana sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam supaya tidak terus bergantung kepada produk patuh syariah mirip konvensional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023 mengekalkan Malaysia pada kedudukan teratas untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat banyak ruang boleh diteroka bagi mengangkat sektor kewangan Islam ke tahap lebih adil berlandaskan maqasid syariah selain berupaya menyaingi produk konvensional.

"Antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musyarakah melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil.

Iklan

"Kemudahan ini tertumpu kepada projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana daripada institusi perbankan Islam serta pelabur swasta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, Program i-TEKAD yang ditawarkan 13 bank dan 70 rakan pelaksana telah membantu lebih 8,000 usahawan mikro berpendapatan rendah.

Iklan

Ujarnya, sebanyak RM20 juta geran padanan disediakan pada 2025 dengan RM5 juta khusus untuk menyumbang kepada caruman insurans atau takaful bagi usahawan mikro.

"Ini akan dipadankan dengan sumbangan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk manfaat peniaga dan penjaja kecil, penghantar barang dan makanan serta peserta Ikhtiar Pendapatan Rakyat yang rosak tanaman akibat bencana.

"Kerajaan juga menyokong pelaburan berimpak sosial lain termasuk pembiayaan P2P patuh syariah dan pendanaan awam ekuiti di bawah program MyCIF dengan menyediakan geran padanan RM40 juta," katanya.

Tambah beliau, bagi merancakkan kajian dalam bidang ekonomi Islam, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai universal ekonomi Islam.

Jelasnya, perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa selaras dengan prinsip maqasid syariah yang adil, inklusif serta lestari untuk kemakmuran bersama.