Belanjawan 2025: RM1.3 bilion untuk perkasa kontraktor G1 hingga G4

Iklan
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1.3 bilion untuk memperkasa kontraktor G1 hingga G4 khususnya bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.

Iklan
Iklan

Pada masa yang sama, beliau berkata, sejumlah RM200 juta disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1 hingga G4 menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta.

"Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah dengan tekad membawa pengarahan dan kebijakan baharu," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Iklan

Ujar beliau, negara tidak boleh lagi terkurung dengan cara lama untuk mengurus agensi dengan tatakelola rendah, menggunakan agensi bagi memperkaya kerabat sendiri sehingga lupa agenda utama mengangkat darjat dan martabat bumiputera.

"Pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra adalah untuk menyokong perniagaan bumiputera di sepanjang kitaran perniagaan mereka.

Iklan

"Umpamanya, Ekuinas akan melabur dalam syarikat pertengahan dan setelah itu, syarikat yang berjaya disenaraikan dan mendapat pelaburan sewajarnya daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB)," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM800 juta pembiayaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tersedia pada tahun hadapan.

"Ia untuk lebih ramai usahawan bumiputera termasuk untuk menyokong artisan tempatan," katanya.