Belanjawan 2025: Kadar duti eksais minuman bergula naik 40 sen seliter

Iklan
Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Januari 2025.

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Januari 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuat bertujuan menyokong gerakan Perang Terhadap Gula atau ‘War On Sugar’ yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 29 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Menteri Kewangan itu, hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam termasuk penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi rawatan diabetes.

”Selain itu, penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain Felda yang turut menambah baik pusat dialisis mereka.

Iklan

”Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara (HSN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Iklan

Anwar turut memaklumkan, kerajaan bercadang untuk memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan.

Tambah beliau, antaranya meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan dan kit ujian sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.

Katanya lagi, Ikhtiar Rakan KKM akan diperkenalkan melibatkan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.

Jelas Anwar, pelaksanaan tersebut akan bermula di lima hospital KKM yang mempunyai permintaan tinggi dan infrastruktur sesuai contohnya Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal sebanyak RM25 juta.

”Kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta melibatkan perkhidmatan kardiologi, radiologi dan nefrologi. Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan elemen persaingan demi mendapatkan harga terbaik buat kerajaan.

”Penyumberluaran ini turut diteruskan dengan Institut Jantung Negara (IJN) melibatkan pesakit jantung dalam kalangan pesara kerajaan,” ujar ahli Parlimen Tambun itu lagi.

Sementara itu, menurutnya, kerajaan bakal menubuhkan Tabung Penyakit Jarang Jumpa pada tahun depan dengan kos perubatan ditanggung sebanyak RM25 juta.

”Skim MySalam juga diperluas untuk libatkan penyakit jarang jumpa dan Rheumatoid Arthritis.

"Sumbangan ke dalam Tabung Penyakit Jarang Jumpa juga layak mendapat potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar,” katanya lagi.