Alfu Sanatin bawa pembaca menyelusuri sejarah tamadun Islam

Iklan
Alfu Sanatin disusun mengikut kronologi dan garis masa kejadian berkenaan sejarah ketamadunan Islam.

SHAH ALAM - Bagi pembaca dan peminat sejarah tamadun Islam, buku Alfu Sanatin menjadi pilihan tepat untuk dijadikan rujukan.

Penulisnya Muhammad Nazri Rijal berkata, berbeza dengan buku lain, Alfu Sanatin disusun mengikut kronologi dan garis masa kejadian.

Iklan
Iklan

"Lazimnya, apabila kita membaca buku sejarah Islam, kebanyakan kisah yang dipaparkan tidak disusun dengan baik dan bercampur aduk."

"Jadi buku Alfu Sanatin ini dapat memberi gambaran apa yang berlaku dalam satu garis masa. Bermula dengan kisah sahabat Nabi iaitu Sayidina Uthman, fitnah-fitnah yang berlaku, situasi Sayidina Ali ketika menghadapi para pemberontak, kemudian naiknya Bani Umaiyyah, Bani Abasiyyah dan sebagainya, lalu akhirnya kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, semuanya diceritakan secara santai dengan mengikut kronologi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, sepanjang pembacaan daripada muka surat pertama, pembaca akan disajikan dengan kisah jatuh bangun seseorang raja dan kerajaan, tentang pahit maung seseorang panglima dan ilmuwan.

Jelas anak kelahiran Pulau Pinang itu, isu perbalahan mazhab, perbezaan uslub dan pemikiran akidah dapat dijelaskan lebih lanjut menerusi buku ini,

Iklan

"Harapan saya kita sudah boleh mula mengenali jati dan asal-usul sebuah pergerakan dan aliran pemikiran.

"Insya-Allah, kita tidak akan bersengketa dengan perbezaan aliran yang wujud dan buku ini akan menjadi pendamai kalau kita menginsafi dengan membaca buku ini," katanya.

Muhammad Nazri atau lebih dikenali dengan nama pena Ibnu Rijal berkata, sesuai dengan judulnya Alfu Sanatin yang bermaksud 'seribu tahun', buku ini memuatkan peristiwa-peristiwa serta tokoh-tokoh penting yang pernah muncul menggegar dunia untuk sepanjang seribu tahun tamadun Islam.

Alfu Sanatin boleh dibeli secara dalam talian dengan harga RM32 senaskah menerusi karangkrafmall.com