KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau melalui udara keadaan terkini banjir di daerah Temerloh terutama di sekitar Kampung Batu Kapur, pada Jumaat.
Perkara itu dikongsikan di laman sosial Facebook Kesultanan Pahang pada Jumaat.
Baginda mengambil kesempatan untuk melihat sendiri kawasan berkenaan yang terjejas teruk akibat banjir sejak beberapa hari lalu.
Pada 15 Oktober lalu, baginda berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Seri Semantan, Temerloh.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semua pihak bersabar dalam mendepani musibah itu dan patuh kepada setiap arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
"Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan musim banjir kali ini lebih awal berlaku. Saya harap semua penduduk dengar arahan pegawai kerajaan.
"Jika perlu pindah, jangan ingkar. Pihak kerajaan juga perlu lebih proaktif dan tidak pilih kasih dalam menyalurkan bantuan," titah baginda.