KIEV - Kekecohan tercetus di Parlimen Ukraine semalam susulan bantahan terhadap rang undang-undang kontroversi berkaitan pembaharuan tanah.
Satu insiden pergaduhan berlaku selepas kira-kira 15 anggota parti pimpinan Presiden Volodomyr Zelensky dan pihak pembangkang daripada parti yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Yuliya Tymoshenko saling menolak antara satu sama lain ketika sesi bacaan kedua dan terakhir rang undang-undang tersebut.
Iklan
Iklan
"Tindakan menjual tanah Ukraine adalah satu jenayah!” laung ahli Parlimen pro-Rusia, Vadym Rabinovych yang tidak terlibat dalam perbalahan itu.
Keadaan di dewan itu bagaimanapun kembali reda selepas Timbalan Speaker, Ruslan Stefanchuk memberi amaran.
Sesi bacaan rang undang-undang tersebut dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.
Rang undang-undang yang boleh membuka jalan untuk penjualan tanah ladang subur di negara tersebut pada Oktober depan itu mendapat sokongan awal daripada Parlimen yang dikuasai Parti Hamba Rakyat dipimpin Zelensky.
Bagaimanapun, kemajuannya terhenti selepas berdepan bantahan Ahli Parlimen yang turut mengemukakan ribuan pindaan. - Agensi