KUALA LUMPUR - Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan antara RM55 hingga RM65 kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian bagi fasiliti kesihatan yang mengguna pakai sistem kerja baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar.
Katanya, Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan jabatan tertentu.
"Di bawah program ini, kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan juga menyediakan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
Kata Anwar, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.
"Kita masih ingat serangan ganas di Balai Polis Ulu Tiram yang meragut nyawa dua anggota polis; Allahyarham Lans Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Lans Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said serta Sarjan Mohd Hasif Roslan yang cedera akibat terkena tembakan.
"Bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja akan diperluas dan dipermudah,” ujarnya.