Belanjawan yang teliti dan terangkum - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirangka dengan teliti dan terangkum menyeluruh berpandukan visi Kerangka Ekonomi Madani.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif yang dilaksanakan mampu mempercepatkan reformasi ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat secara inklusif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion, Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kukuh serta kesungguhan Kerajaan Madani dalam membina negara yang berdaya tahan.

"Tumpuan utama diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi, selaras dengan hasrat untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus kemajuan.

Iklan

"Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih buat Perdana Menteri atas peruntukan sebanyak RM11.96 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyaksikan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun lalu.

"Daripada jumlah ini, RM4.47 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.49 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh agenda Desa Madani dan seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh 8.1 juta penduduk desa,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Iklan

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan turut meningkatkan peruntukan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, ia membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan sektor pertanian dan komuniti desa.

"Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, peruntukan tambahan kepada RM7.5 bilion daripada RM6.8 bilion ada bukti komitmen kerajaan bagi memperkasa ekosistem TVET khususnya dalam menjalinkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang kepada belia, komuniti pedalaman dan orang asli.

"Masyarakat orang asli juga terus diberi perhatian di bawah Belanjawan Madani, dengan peruntukan meningkat kepada hampir RM380 juta berbanding RM330 juta pada tahun lalu.

"Usaha ini merangkumi projek pembangunan semula ladang Orang Asli serta pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.

Selain itu, dalam usaha menghadapi cabaran bencana, hampir RM600 juta diperuntukkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk persediaan menghadapi banjir.

Daripada jumlah tersebut, lebih RM300 juta telah diperuntukkan untuk tindakan segera sekiranya berlaku bencana dan kerajaan juga telah menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta dan merancang 12 lagi projek RTB dengan kos RM3 bilion.

"Selain itu, bagi menyokong sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, RM550 juta disediakan untuk mempromosikan destinasi pelancongan.

"RM 600 juta turut diperuntukkan bagi memelihara warisan budaya dengan menyalurkan RM600 juta bagi memulih dan memulihkan bangunan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara,” ujar beliau.

Jelas Ahmad Zahid, melalui perancangan dan komitmen yang jelas dan terangkum, Belanjawan 2025 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.