Belanjawan 2025: Peruntukan KKM naik RM45.3 bilion - PM

Iklan
Anwar membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat, pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion tahun depan berbanding RM41.2 bilion untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan berkenaan meliputi RM1.35 bilion bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

Iklan
Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara dengan peruntukan RM300 juta untuk tahun hadapan.

Selain itu, bagi menyokong gerakan War on Sugar, beliau berkata kerajaan bercadang menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Jan 2025 sebanyak 40 sen seliter.

Iklan

"Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.

"Penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain FELDA yang turut menambah baik pusat dialisis mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Selain itu, Anwar turut mengumumkan dana RM27 juta sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

Bagi memastikan sistem dan struktur perkhidmatan kesihatan awam lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri, Anwar berkata, Ikhtiar Rakan KKM akan diperkenalkan melibatkan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.

"Kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM melibatkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan nefrologi.

"Penyumberluaran akan diteruskan melibatkan Institut Jantung Negara bagi pesakit jantung dalam kalangan pesara kerajaan yang berumur 65 tahun dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dasar offtake atau perolehan khusus daripada syarikat yang membuat pelaburan domestik baharu akan dilaksanakan untuk mengeluarkan produk farmaseutikal dan peranti perubatan kritikal.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM100 juta termasuk untuk perolehan peralatan terkini bagi mengukuhkan pusat kecemerlangan kesihatan yang telah dikenal pasti, selain ketika ini kerja-kerja awalan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu sedang dilaksanakan. - Bernama