Tiga kanak-kanak maut, seorang kritikal selepas kereta terjunam dalam sungai

Iklan
Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar. Foto JBPM

LAWAS - Tiga kanak-kanak maut manakala enam lagi terselamat selepas sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar, di sini tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mangsa, Mohamad Nazran Awang Matasan,10, Mohd Fayard Mohd Azmi, 5, dan Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dilaporkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di Hospital Lawas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, seorang lagi kanak-kanak perempuan, Madieenatul Munawarah Mohd Azmi, 9, dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

"Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang dengan lapan daripadanya pelajar Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas manakala seorang kanak-kanak berusia 5 tahun merupakan anak kepada pemandu berusia 38 tahun itu.

Iklan

Anggota bomba melakukan selaman bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dalam MPV yang terjunam dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Sundar, Lawas. Foto JBPM

"Enam daripada mereka termasuk pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas lelaki itu bertindak membuka pintu bonet bahagian belakang kereta. Tiga kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar, Lawas,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Iklan

Beliau berkata, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada 1.15 tengah hari dan tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas telah digerakkan ke lokasi. - Bernama