Penambahan aset kapal usaha jaga perairan negara

Iklan
Datuk Mohd Rosli Abdullah

PUTRAJAYA - Peruntukan penyelenggaraan dan aset kapal baharu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi justifikasi kukuh tentang usaha menjaga keselamatan perairan negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah mengumumkan peruntukan berkenaan pada pembentangan Belanjawan 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengumuman berkenaan menandakan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberikan justifikasi yang kukuh tentang keperluan mendesak agensi ini kepada pihak kerajaan.

"Penambahan aset ini adalah tepat pada masanya kerana Maritim Malaysia kini berhadapan kekangan keupayaan aset dalam menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di kawasan sempadan perairan negara.

Iklan

"Saya percaya melalui peruntukan Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ ini, masyarakat akan semakin yakin dan percaya akan keprihatinan Kerajaan Madani dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, ia seiring dengan Nilai Teras Malaysia Madani iaitu kesejahteraan sosial dan keyakinan dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Iklan

Dalam sesi pembentangan belanjawan di Parlimen, pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan perolehan baharu aset laut kepada Maritim Malaysia.

Aset itu terdiri daripada sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship dan dua buah Kapal Ronda Generasi Baharu serta peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan bagi enam buah kapal di bawah program Fasa 2 Ship Life Extension Programme (SLEP) (Program Pemanjangan Usia Kapal) yang akan diterima pada tahun 2025.