Pelaksanaan Belanjawan 2025 kritikal - Syahir

Iklan
Syahir

SHAH ALAM - Pelaksanaan Belanjawan 2025 amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh dan kemakmurannya dikongsi bersama kerana yang dibelanjakan adalah Kumpulan Wang Yang Disatukan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, seperti dijangka ia adalah belanjawan terbesar dalam sejarah iaitu pertama kali mencecah RM400 bilion.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah itu pastinya akan membawa limpahan kepada ekonomi dan tekanan kepada defisit serta hutang kerajaan.

"Tema utama ‘penguncupan subsidi dan peluasan cukai’ adalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan kerajaan, meluaskan asas cukai bagi menampung perbelanjaan mengurus (OE) yang tinggi RM335billion (80 peratus) walaupun ekonomi sudah kembali normal pasca pandemik.

Iklan

"Belanjawan 2025 ini akan memberi impak kepada ekonomi antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024/2025 diunjur positif dan inflasi dijangka lebih tinggi.

"Selain itu, kesan lain adalah menyebabkan kos sara hidup meningkat, pengangguran menyederhana, kenaikan gaji minimal, hutang kerajaan dan keberhutangan rakyat terus meningkat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Tambah Syahir, Belanjawan 2025 menyaksikan penerusan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat untuk menyerap impak kenaikan kos sara hidup serta pengurangan subsidi diesel dan petrol.

Namun jelasnya, perlu ada strategi keluar yang mampan supaya tidak menjejaskan ekonomi pada jangka masa panjang.

"Bagi perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM86 bilion (20 peratus) perlu dilaksanakan mengikut keutamaan negeri dan berimpak tinggi.

"Saya juga berpendapat kemasukan pelaburan asing (FDI) sangat dialukan, khususnya dalam bidang berkemahiran tinggi dan teknologi hijau namun aspek pemindahan kepakaran, pengupayaan bakat tempatan serta pemindahan teknologi hendaklah dipertingkatkan,'' ujarnya.

Tambahnya, selain aspek ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup rakyat khususnya dalam aspek pencapaian pendidikan, kualiti penjagaan kesihatan, serta keselamatan dan ketenteraman awam juga amat penting.

"Ini kerana, tekanan hidup mutakhir ini melonjakkan insiden kebejatan sosial dan perlakuan jenayah di luar peri kemanusiaan," katanya.