Belanjawan 2025: RM2 bilion untuk projek naik taraf, selenggara sekolah

Iklan
Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara dalam Belanjawan Madani Ketiga 2025 yang dibentangkan pada Jumaat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara dalam Belanjawan Madani Ketiga 2025 yang dibentangkan pada Jumaat.

Anwar berkata, daripada jumlah itu, RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur termasuk di sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas Orang Kurang Upaya (OKU).

Iklan
Iklan

Sebanyak RM1 bilion pula bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

"Kementerian Pendidikan diberi peruntukan RM64.1 bilion yang merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Iklan

"Keutamaan saya kekal memastikan ruangan pembelajaran yang selesa, selamat dan bermakna untuk anak-anak menimba ilmu,” kata beliau yang turut memaklumkan sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memastikan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman, kerajaan bersetuju melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar dengan peruntukan RM100 juta.

Iklan

Beliau berkata, projek Point of Presence (POP) sedia ada juga diteruskan dengan peruntukan lebih RM800 juta.

"Tumpuan seterusnya adalah untuk membaik pulih kemudahan lain seperti kantin dan musolla dengan peruntukan RM100 juta,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, pada 2025, sebanyak 17 jenis bantuan pendidikan terus disediakan dengan peruntukan RM5.3 bilion antaranya melibatkan bantuan makanan asrama (RM2 bilion); Rancangan Makanan Tambahan (RM870 juta); Bantuan Awal Persekolahan (hampir RM800 juta) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM180 juta).

Bagi meningkatkan akses pendidikan pelajar daripada keluarga susah, Anwar berkata, kerajaan bersetuju bayaran gaji atau upah kepada tenaga pengajar oleh institusi dan organisasi, dengan objektif pendidikan yang diluluskan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dibenarkan sebagai perbelanjaan kebajikan.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju kadar Geran Per Kapita (PCG) bagi Pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditingkatkan sebanyak 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.

"Sejak 2002, sudah 22 tahun kadar PCG TVET tidak disemak semula. PCG ialah sumber kewangan utama sekolah dan kadar lama tidak lagi dapat menampung kos pembelajaran yang kian meningkat.

"Sekolah kurang murid di pedalaman pula bergantung kaedah PCG yang sama. Bermakna, kurang murid selama ini kurang dana,” kata beliau. - Bernama