SHAH ALAM - Peningkatan peruntukan bagi pengurusan hal ehwal Islam sebanyak RM100 juta kepada RM2 bilion berbanding tahun lalu membuktikan kerajaan komited dengan usaha-usaha pembangunan syiar Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seluruh warga jabatan berkenaan bertekad untuk terus berusaha dengan semangat islah dan itqan bagi memastikan seluruh agensi sentiasa memelihara tata kelola yang baik serta integriti.
"Selain itu agensi Islam juga akan berusaha menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejumlah RM150 juta diperuntukkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.
Tambah Mohd Na’im, kerajaan bersetuju memberikan sumbangan khas sebanyak RM500 untuk menghargai sumbangan besar lebih 70,000 para Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir yang melibatkan peruntukan RM35 juta.
Katanya, kerajaan turut bersetuju untuk menambah kuota Guru KAFA sebanyak 1,500 orang selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
"Kerajaan juga begitu prihatin dengan bakal pendakwah dalam kalangan penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran Jakim dengan meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100,” ujarnya.