Belanjawan 2025: BPMB peruntuk sehingga RM6.4 bilion untuk tujuh program strategik

Iklan

SHAH ALAM - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) diberi mandat untuk memperuntukkan sehingga RM6.4 bilion bagi membiayai pembiayaan bersasar projek-projek pembangunan berimpak tinggi melalui tujuh program strategik dalam Belanjawan 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, ia merangkumi Program Pembangunan Madani, Program Pengangkutan dan Logistik, Program Pembangunan Mampan dan Peralihan, Program Tenaga Boleh Baharu dan Peralihan, Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera, Program Infrastruktur Digital dan Sektor Berimpak Tinggi serta Program Akses Modal.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu menurutnya, BPMB memberi tumpuan untuk memperkukuh mandat kerajaan selaras dengan rangka kerja Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Daripada RM6.4 bilion modal yang diperuntukkan oleh BPMB, RM1.0 bilion akan dikhaskan untuk dua program fokus iaitu Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera dan Program Tenaga Boleh Baharu dan Peralihan.

Iklan

"Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera akan menyediakan modal berimpak dan kemudahan pembiayaan bagi menyokong Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang akan memfokus kepada, antara lain, ekosistem halal dan aktiviti berkaitan rantaian bekalan.

"Program Tenaga Boleh Baharu dan Peralihan akan menyokong aktiviti berkaitan tenaga di bawah NETR,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu beliau menambah, sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan utama negara, BPMB telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan Malaysia selama 50 tahun.

"Melalui belanjawan ini, kami memperbaharui komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memacu pertumbuhan lebih kukuh dan terus menyediakan modal berimpak untuk pembangunan negara, selaras dengan matlamat ekonomi Madani,” katanya.