Peruntukan RM750 juta kepada MOT bantu kurang kos sara hidup rakyat

Iklan
Peruntukan bernilai RM750 juta kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi pengumuman Belanjawan 2025 bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Peruntukan bernilai RM750 juta kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi pengumuman Belanjawan 2025 bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, 44 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan mengurus MOT akan digunakan bagi subsidi pengangkutan awam yang meliputi perkhidmatan rel darat dan pengangkutan udara.

Iklan
Iklan

"Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik bagi rakyat Malaysia, di kawasan bandar dan luar bandar.

"Antara inisiatif penting yang diteruskan adalah subsidi My50 dan Pas Mutiara dengan peruntukan sebanyak RM226 juta yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 180,000 pengguna di Lembah Klang dan Utara serta Subsidi Tren Tidak Ekonomik (TTE) dengan peruntukan RM22 juta untuk laluan Tumpat–Kuala Lipis dan laluan tambahan ke Gemas.

Iklan

"Selain itu, Inisiatif Pas Perjalanan Percuma untuk pelajar dan golongan orang kelainan upaya (OKU) melalui perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dengan peruntukan sebanyak RM3.942 juta juga disediakan kerajaan," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, peruntukan lebih RM200 juta disediakan untuk Subsidi Perkhidmatan Luar Bandar (RAS) yang menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Iklan

Ujarnya, ia termasuk laluan baharu iaitu Kota Kinabalu ke Layang-Layang dan Miri ke Long Banga yang dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 800,000 penduduk desas serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga memperuntukkan RM48 juta untuk Subsidi Tiket Penerbangan Flysiswa dan Musim Perayaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 160,000 rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Dengan peruntukan ini, MOT komited untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui peningkatan aksesibiliti serta ketersambungan yang lebih baik di seluruh negara," tambah kenyataan itu.