Peningkatan peruntukan SPRM akan bantu usaha banteras gejala rasuah

Iklan
Azam Baki

KUALA LUMPUR - Peningkatan peruntukan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada RM360 juta pada Belanjawan 2025 berbanding RM338 juta tahun ini akan membantu agensi itu dalam usahanya membanteras gejala rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, peningkatan peruntukan diterima SPRM itu membuktikan iltizam politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani jenayah rasuah serta meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam sektor awam.

Iklan
Iklan

"SPRM berterima kasih atas keperihatinan kerajaan dan akan terus berusaha membasmi jenayah rasuah di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, peningkatan peruntukan diterima suruhanjaya itu membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam memperkukuhkan usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Iklan

"Peruntukan yang lebih besar ini sangat penting untuk membolehkan SPRM memperluas siasatan, memperkukuhkan kapasiti penyiasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pesalah rasuah tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Kebebasan sepenuhnya yang diberikan kepada SPRM dalam menjalankan siasatan juga selari dengan hasrat MCW untuk melihat sebuah agensi penguatkuasaan yang benar-benar bebas, berintegriti dan berwibawa," katanya.

Iklan

Beliau berkata, MCW berharap tambahan peruntukan sebanyak RM22 juta itu akan dimanfaatkan untuk meningkatkan teknologi penyiasatan, memperkukuhkan program pendidikan dan kesedaran antirasuah serta melatih pegawai untuk lebih berkemahiran dalam menghadapi cabaran rasuah yang semakin kompleks. - Bernama