KUALA LUMPUR - Belanjawan 2025 bakal meningkatkan keterangkuman, pengagihan kekayaan yang saksama serta menangani isu sosial melalui pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kebajikan rakyat melalui pengurusan fiskal berhemah dan subsidi bersasar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
Antara inisiatif penting yang diumumkan termasuk Kerangka Insentif Pelaburan Baharu bernilai RM1 bilion yang menyasarkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan aktiviti bernilai tinggi dan pembangunan bakat teknologi dengan pelaburan besar dalam latihan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan (AI).
Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu itu dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.
Inisiatif lain termasuk RM200 juta untuk Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan.
Ini juga termasuk inisiatif RM40 juta ringgit di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, Timur Tengah serta peruntukan RM750 juta kepada EXIM Bank bagi mendorong pengeksport tempatan memperluas operasi ke pasaran luar.
"Saya optimis langkah-langkah Belanjawan 2025 ini mampu meningkatkan lagi momentum pertumbuhan ekonomi negara,” kata Tengku Zafrul menerusi catatan di laman Instagram rasmi beliau pada Jumaat.
Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini memberi penekanan untuk merancakkan ekonomi, menguasai aspek inovasi serta memastikan pengagihan kekayaan lebih adil dan saksama.
Belanjawan tertinggi dalam sejarah negara itu adalah yang ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan Madani pimpinan Anwar, dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang. - Bernama