Belanjawan 2025 mengimbangi pertumbuhan ekonomi negara

Iklan
Penjawat awam Sarah Anniesya memegang buku Anggaraan Perbelanjaan Persekutuan selepas pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

SHAH ALAM - Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai strategi penting untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi negara selain memastikan kesejahteraan rakyat terjaga.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata, secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 merupakan satu pelan komprehensif yang berjaya mengimbangi keperluan untuk memajukan ekonomi negara di peringkat global selain memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah-langkah ini dijangka dapat mewujudkan pembangunan yang mampan dan saksama untuk semua lapisan masyarakat.

"Secara keseluruhan, KRI melihat Belanjawan 2025 sebagai langkah tepat ke arah pembangunan Malaysia dengan mencapai keseimbangan antara meningkatkan kedudukan ekonomi negara di peringkat global dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

KRI menambah, dalam masa yang sama, Belanjawan 2025 juga menekankan reformasi fiskal serta pembangunan inklusif bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

"KRI menyambut baik langkah kerajaan untuk merasionalisasi subsidi dan memperluaskan asas percukaian.

Iklan

"Rasionalisasi subsidi RON95 diharapkan dapat menghasilkan penjimatan yang akan disalurkan kepada sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

"Selain itu, pengenalan cukai karbon ke atas tenaga pada tahun 2026 dilihat lebih berkesan berbanding pasaran karbon, namun kesannya bergantung kepada kadar cukai yang dikenakan," katanya.

Menurut KRI, Belanjawan 2025 turut memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaburan domestik melalui inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

"Inisiatif ini menyokong aspirasi perindustrian negara dengan memfokuskan sektor-sektor strategik seperti semikonduktor, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

"Latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga diperluas ke sektor-sektor utama untuk mempersiapkan golongan belia pribumi, komuniti luar bandar dan golongan miskin bandar dengan kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi yang kian berkembang," katanya.

Dalam pada itu, KRI berpendapat, kenaikan had gaji minimum dan penerbitan garis panduan gaji untuk semua sektor turut dilihat sebagai langkah penting dalam memperbaiki taraf hidup rakyat.

"Inisiatif ini, termasuk pelaburan besar dalam ekosistem perniagaan merupakan langkah penting ke arah meningkatkan taraf hidup individu serta daya saing perniagaan, sekali gus memastikan kemajuan yang mampan dan saksama untuk Malaysia.

"Usaha kerajaan dalam meneraju penggunaan dan menambah baik tadbir urus AI turut disambut baik termasuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan yang baharu dan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN.

"Penekanan Belanjawan 2025 terhadap keselamatan dalam talian dan keselamatan siber perlu didukung melalui pengukuhan tadbir urus data," katanya lagi.

Mengulas lanjut, KRI berkata, peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM13 bilion bersama dengan bantuan bersasar lain adalah langkah yang baik untuk membantu rakyat menghadapi kesan rasionalisasi subsidi.

"Usaha berterusan untuk menambah baik perlindungan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri, suri rumah dan golongan warga emas melalui peningkatan sumbangan kerajaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berupaya membantu memastikan kesejahteraan mereka.

"Usaha-usaha ke arah memperkukuh kesihatan awam juga dihargai terutama dalam menaik taraf penjagaan kesihatan, reformasi proses perolehan dan penyampaian penjagaan serta mempromosikan gaya hidup sihat melalui peningkatan kadar duti eksais bagi minuman bergula," tambahnya.