Gaji minimum: PKS akan terjejas, pekerja B40 berisiko hilang kerja

Iklan
William

SHAH ALAM - Pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa tahun depan bukan hanya membebankan pengusaha kecil dan sederhana (PKS), tetapi berisiko menjejaskan pekerja sedia ada.

Presiden Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, kenaikan gaji yang diumumkan akan menjejaskan operasi PKS dan pekerja golongan B40 khususnya.

Iklan
Iklan

"PKS di Sabah dan Sarawak khususnya akan sukar untuk melaksanakan gaji minimum, dan kita boleh menjangkakan kehilangan pekerjaan yang besar akibat daripada pengumuman baharu ini.

"Ini akan sangat merugikan B40, yang kebanyakannya bergantung pada kerja separa mahir, kerana ia akan menjadi antara pekerjaan pertama yang terjejas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pembentangan Belanjawan 2025 turut menyaksikan kerajaan memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu pada 1 Ogos 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

Iklan

"Di pusat bandar, seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, gaji minimum sudah jauh lebih tinggi daripada RM 1,700 yang diumumkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan agar mempertimbangkan pengecualian cukai dividen dua peratus ke atas pemilik PKS kerana akan menjejaskan kumpulan itu yang kini berdepan cabaran aliran tunai.

Ia susulan pengenalan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025 yang diumumkan kerajaan.

"Mengenakan cukai ke atas dividen daripada pendapatan yang telah dikenakan cukai bukan sahaja satu bentuk cukai berganda, tetapi akan menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan mereka atau memperoleh keuntungan yang lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya memuji tindakan Anwar dalam memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan pembaziran termasuk penggabungan agensi berlebihan, serta melanjutkan pembiayaan bersubsidi dan jaminan kredit untuk PKS.