Fokus jaminan pendapatan, kesihatan jangka panjang - Hawati

Iklan
Hawati ketika program Interviu bertajuk ‘Belanjawan 2025: Tercapaikah Reformasi Ekonomi’ yang disiarkan secara langsung bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Jaminan pendapatan terutamanya sistem pencen dan kesihatan jangka panjang antara perkara yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan sebelum menuju negara menua pada 2030.

Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute, Hawati Abdul Hamid berkata, dari segi jaminan pendapatan, sekiranya seseorang tidak bekerja, kadar kemiskinan orang tua meningkat hingga memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menjaga golongan terbabit.

Iklan
Iklan

Dari aspek kesihatan jangka panjang pula, beliau berpandangan, kerajaan masih belum bersedia untuk menjaga orang tua lebih-lebih lagi apabila sistem kekeluargaan semakin berkurangan.

”Negara sedang berdepan fasa menua dan akan datang 'sudah menua' sama seperti Jepun, malah senario tersebut bergerak dengan amat laju.

Iklan

”Kedua-dua perkara ini saya fikir belum ada model pembiayaan yang berterusan, kalau seseorang itu ada pendapatan tinggi, mungkin boleh beli perkhidmatan ini dalam pasaran, itupun sangat tinggi (harga) sebab nak bayar upah datang ke rumah atau pergi sendiri ke pusat jagaan orang tua.

”Kalau kategori miskin, mungkin boleh pergi ke Rumah Seri Kenangan tetapi fasilitinya sangat terhad. Golongan pertengahan pula, tahap kemampuan adalah satu isu yang kita perlu fikirkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk ‘Belanjawan 2025: Tercapaikah Reformasi Ekonomi’ yang disiarkan secara langsung bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Program yang dihoskan oleh Haizir Othman itu turut dibarisi panelis berkaliber seperti Pensyarah Kanan UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Hawati memaklumkan, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kecukupan dari segi simpanan selepas bersara belum memuaskan, malah ada yang masih tidak mencarum.

”Kalau simpanan persaraan mandatori pun tak ada, apatah lagi bukan mandatori. Itulah perkara yang kita agak bimbang dan saya rasa perlu ada reformasi pencen buat masa sekarang.

”Saya rasa KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang meneliti perkara ini,” ujarnya.