'Dia rakyat beta, beri keadilan sekarang' - Tengku Hassanal

Iklan
Tengku Hasanal menitahkan agar keadilan diberikan segera kepada seorang pekerja pembinaan yang didakwa diserang kerabat Diraja Pahang bersama sekumpulan individu pada bulan lalu. Gambar Instagram Tengku Hassanal

KUALA LUMPUR - Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar keadilan diberikan segera kepada seorang pekerja pembinaan yang didakwa diserang kerabat Diraja Pahang bersama sekumpulan individu pada bulan lalu.

Tengku Mahkota Pahang dalam kemas kini di Instagram Story pada Jumaat menambah, keadilan bukan sahaja perlu perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Dia (mangsa) ialah rakyat beta. Berikan dia keadilan sekarang," tulis Tengku Hassanal dalam kemas kini tersebut.

Tengku Hassanal bertitah, mereka yang memperjuangkan keadilan akan sentiasa menghadapi tentangan daripada pihak yang melakukan ketidakadilan.

Iklan

Sebelum ini, Tengku Hassanal menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.

Ia susulan laporan media bahawa seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.

Iklan

Pada Khamis, sebuah portal melaporkan, mangsa yang dikenali sebagai Alias Awang, 44 tahun, kecewa kerana belum ada tindakan daripada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan. - Awani