Belanjawan 2025: KPKT terima RM5.934 bilion bagi pacu kesejahteraan rakyat

Iklan
Kor Ming (tengah) di Dewan Rakyat sempena pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan sebanyak RM5.934 bilion untuk tahun depan berbanding RM5.647 bilion pada 2024 dengan peningkatan 5.08 peratus iaitu bersamaan RM287.4 juta.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kenaikan peruntukan itu menunjukkan betapa pentingnya peranan kementerian terbabit dalam menerajui dasar kerajaan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat di negara ini.

Iklan
Iklan

"Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kejayaan belanjawan lalu diterjemahkan menerusi peningkatan kualiti hidup rakyat dan menjadi pemangkin produktiviti KPKT yang menerajui agenda kesejahteraan rakyat.

"Pengagihan sejumlah peruntukan besar ini bukti kepercayaan dan keyakinan Kerajaan Madani kepada KPKT untuk meneruskan agenda pemerkasaan kesejahteraan rakyat serta persekitaran mampan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Kor Ming memaklumkan, sebanyak 13 inisiatif digariskan melibatkan KPKT seperti RM10 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Step-Up Financing; RM900 juta buat program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR); kenaikan had siling bantuan rumah baharu dari RM75,000 kepada RM90,000 serta baik pulih rumah sehingga RM20,000.

Selain itu, katanya, RM200 juta untuk menyelenggara Rumah Strata Kos Rendah dan Sederhana Awam termasuk penggantian lif-lif usang; pelepasan cukai sehingga RM7,000 bayaran faedah pinjaman perumahan bagi kediaman berharga sehingga RM500,000, manakala RM5,000 bagi kediaman berharga melebihi RM500,000 ke RM750,000 bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Iklan

"RM100 juta juga diperuntukkan untuk membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam, gerai atau warung di seluruh negara; RM150 juta buat pembersihan dan menaik taraf longkang, parit serta sungai di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"RM84 juta peruntukan untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti Kampung Baru Cina, malah KPKT juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India.

"Peruntukan RM50 juta khusus untuk kerja baik pulih dan selenggara Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang berdaftar di seluruh negara serta RM100 juta diperuntukkan menaik taraf 48 buah Taman Awam Madani,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, RM1.8 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih

semua kuarters penjawat awam termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); peluasan perlindungan sosial kepada penjawat awam dan Skim Ex-gratia Bencana Kerja melibatkan anggota JBPM.

"Akhir sekali, penggalakan ekonomi kitaran melalui insentif pelepasan cukai untuk pembelian mesin kompos sisa makanan bagi kegunaan isi rumah dan sumbangan atau penajaan ‘Smart Artificial Intelligence’ -’ Driven Reverse Vending Machine’ sehingga tahun taksiran 2027 sepertimana dicadangkan oleh KPKT,” kata Kor Ming.