JAGUH larian menara negara, Soh Wai Ching dan juara tenpin boling dunia Natasha Mohamed Roslan, hari ini dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2023, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil.
Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pada majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Natasha yang juga merupakan Olahragawati Kebangsaan 2023 berkata, beliau tidak menyangka akan terpilih, memandangkan lebih ramai atlet yang tidak kurang hebatnya telah menyumbang bakti kepada arena sukan negeri Selangor.
"Kemenangan (Anugerah Olahragawati Selangor) adalah pemangkin semangat supaya tidak cepat putus asa dan berjuang dengan lebih baik, dan insya-Allah ini bukan kali terakhir untuk saya menang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, Ravinder Singh yang mewakili Wai Ching, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian jaguh dunia atas pengiktirafan yang diterimanya, walaupun ia bukan sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik.
Menyingkap kembali perjuangan Wai Ching di peringkat awal dengan yang bermula sendiri, Ravinder berharap lebih ramai golongan muda yang akan menceburi sukan itu kerana negara mempunyai Wai Ching yang merupakan contoh dan teladan yang baik untuk diikuti.
Atlet ping pong, Tey Hong Yu pula dipilih sebagai Olahragawan Harapan, manakala Olahragawati Harapan dimenangi Yong An Tung dari sukan berbasikal.
Anugerah Jurulatih Terbaik Lelaki dirangkul Gerald Samuel (tenpin boling) dan Anugerah Jurulatih Terbaik Wanita dimenangi Tan Ee Shya (bola keranjang), manakala Presiden Karate-do Selangor Datuk M.Panneerselvam dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan 2023.
Pada majlis sama, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Selangor turut menyerahkan insentif sebanyak RM1.5 juta kepada atlet dan pegawai yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Renang menjadi pasukan paling tinggi menerima insentif iaitu RM322,900 dengan atlet sukan itu Andrew Goh Zheng Yin, menjadi penerima insentif tertinggi bagi kategori individu berjumlah RM52,000.
Pada temasya itu, Selangor yang menyasarkan kedudukan ketiga teratas mengakhiri pertandingan di tempat ketiga dengan memperoleh 56 pingat emas, 64 perak dan 61 gangsa.
Sukma 2024 menyaksikan penyertaan lebih 12,000 atlet dan pegawai yang bertanding bagi merebut 488 pingat emas daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. - Bernama