SHAH ALAM - Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan melegakan rakyat dengan pelbagai inisiatif buat semua peringkat golongan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, belanjawan tersebut realistik dan pihaknya juga optimis pertumbuhan ekonomi yang diunjur kepada 5.5 peratus mampu dicapai.
Menurutnya, ia juga bersifat komprehensif dan inklusif dengan fokus pembelaan terhadap rakyat sama ada golongan kaya, pertengahan dan profesional serta rakyat umum termasuk golongan miskin tegar, pelajar, belia, wanita dan orang kurang upaya (OKU).
"Rakyat berasa lega dengan pengumuman untuk meneruskan dan memperkasa Program Payung Rahmah. Jumlah RM700 juta untuk saluran program Rahmah jelas satu keutamaan Kerajaan Madani bagi menangani kos sara hidup bagi golongan yang terkesan.
"Ini ditambah lagi dengan bantuan Sara (Sumbangan Asas Rahmah) dan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) bernilai RM13 bilion untuk memberi manfaat kepada sembilan juta penerima dan merupakan terbesar sejak diperkenalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mujahid berkata, isu keterjaminan makanan terus diberi tumpuan dengan tambahan RM300 juta antara lain difokuskan kepada penanaman bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan tanaman padi di Negeri Sembilan.
Katanya, inisiatif penanaman padi untuk lima musim yang turut diumumkan juga sudah tentu memberi impak positif bagi menjana sektor pertanian domestik dan mengurangkan import bahan makanan asasi dari luar negara.
Jelasnya, penghargaan juga harus diberikan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atas inisiatif berkenaan.
"Kewangan Islam terus diberi tumpuan dengan kedudukan Malaysia yang menjadi destinasi kewangan Islam dalam senarai 10 terbaik di dunia. Untuk itu RM100 juta diperuntukkan untuk penerokaan modal Islam (IVC) melalui kaedah musyarakah dan mudharabah.
"Tahniah juga kepada Halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang diberikan peruntukan tambahan pegawai audit halal untuk melicinkan proses pensijilan halal yang semakin meningkat," katanya.
Dalam pada itu, Mujahid berkata, Amanah optimis melalui penggemblengan seluruh agensi pelaksana, sektor awam, swasta, kerajaan negeri serta seluruh rakyat, Belanjawan 2025 akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.