SHAH ALAM – Belanjawan 2025 didakwa tidak mempunyai satu falsafah yang jelas untuk memandu ikhtiar-ikhtiar yang diumumkan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, belanjawan berkenaan tiada kerangka pemandu yang jelas sehingga tidak dapat dipastikan apa hala tuju sebenar yang hendak dicapai.
"Gaji minimum RM1,700 telah diumumkan. Tetapi mana dasar atau ikhtiar untuk membuka ruang ekonomi lebih luas demi memastikan majikan mampu membayar jumlah tersebut?
"Rasionalisasi subsidi RON95 diumumkan. Tetapi mana ikhtiar untuk memastikan impak kepada rangkaian bekalan tidak melarat kepada kenaikan kos hidup yang melambung?” soalnya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdahulu mengumumkan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sejumlah RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut Anwar, angka itu meningkat 3.3 peratus berbanding RM407.5 bilion yang diperuntukkan pada Belanjawan 2024 yang disemak semula.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mempersoalkan mengenai pengurangan subsidi dalam beberapa sektor dan usaha menarik pelaburan asing yang diumumkan kerajaan.
"Ada disentuh mengenai usaha menarik pelaburan asing. Tapi mana ikhtiar untuk membuka ekonomi negara ke arah pasaran bebas secara unilateral agar negara kita terus menjadi tumpuan pelaburan? Ini sekadar ulasan awal. Insya-ALLAH ulasan lanjut menyusul dalam perbahasan,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, belanjawan berkenaan mempunyai beberapa elemen yang baik untuk rakyat dan untuk berlaku adil, beliau mengiktiraf beberapa perkara baik tersebut.
"Secara khusus, saya gembira dengan peruntukan bagi penjagaan anak-anak autistik. Sejak saya mula membuka pusat jagaan bagi anak-anak autistik pada 2012, saya amat maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh keluarga terbabit. Maka bantuan yang diperuntukkan adalah baik.
"Saya juga gembira dengan penyambungan pelepasan cukai bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Inisiatif ini penting untuk memastikan golongan muda ada tabungan dan tidak bergantung berlebihan kepada hutang untuk menyambung pengajian,” ujarnya.
Jelasnya, ada beberapa lagi perkara baik yang telah turut diumumkan tetapi dua inisiatif itu adalah perkara yang menarik perhatian beliau secara khusus.