GHAZIABAD - Seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai orang gaji di Ghaziabad, negeri Uttar Pradesh ditahan polis selepas memasukkan air kencing dalam makanan keluarga majikannya.
Perbuatan terkutuk itu berjaya dirakam menerusi kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam dapur rumah keluarga tersebut.
Suspek, Reena Kumar dan tinggal di Shanti Nagar dilaporkan bekerja dengan keluarga berkenaan sejak lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa bulan kebelakangan ini, dia didapati menghidap penyakit hati dan perbuatannya berkemungkinan atas faktor tekanan atau mengalami kemurungan teruk.
Keluarga yang melaporkan perkara itu kepada polis pada 14 Oktober lalu, mendakwa beberapa ahli keluarganya jatuh sakit selepas makan makanan yang dihidangkan orang gaji mereka.
Jadi, mereka secara senyap telah memasang CCTV di dapur dan hasil rakaman menunjukkan Reena mencampurkan air kencing dalam makanan.
"Pembantu rumah sudah menyediakan makanan sejak lapan tahun lalu di rumah saya.
"Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lalu, keluarga saya mengalami komplikasi kesihatan dan hasil rakaman CCTV mendapati dia membuang air kecil di dalam sebuah perkakas dan selepas itu mencampurkannya dengan capati," kata salah seorang anggota keluarga mangsa.
Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 272 (Perbuatan Menyebarkan Jangkitan Penyakit Merbahaya Kepada Nyawa).
"Kami menahan Reena Kumar pada hari Rabu. Semasa disoal siasat, dia berulang kali menafikan telah melakukan perbuatan sedemikian, tetapi apabila kami menunjukkan dengan bukti video, dia terdiam. Selepas itu, dia terus menukar kenyataannya,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis Wave City, Lipi Nagayach.
Polis berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku dia melakukan perbuatan itu kerana ingin balas dendam kepada keluarga majikannya yang sering memarahinya apabila melakukan kesilapan kecil. - Agensi