SHAH ALAM - Tiga sekawan mencipta kenangan terindah merakam video dan meluangkan masa bersama apabila usia persahabatan mencecah 32 tahun.
Suri rumah, Zuraidah Adnan, 62, berkata, hubungan tersebut dimulakan disebabkan mereka menetap di kawasan kejiranan yang sama sejak 1992.
"Zaman saya muda dulu, kami tiada telefon bimbit yang canggih macam zaman sekarang. Kami memang selalu berjumpa sebab membesar sama-sama sampai kahwin dan ada anak-anak.
"Jadi, kami memang selalu keluar untuk ambil anak-anak dari sekolah, sambut hari lahir mereka, bercerita semua tentang anak-anak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Kumpulan tiga sekawan itu dikenali ‘The Pretty Mamas’ di media sosial susulan hantaran video dengan gelagat comel mereka bersama.
Dua sahabatnya lagi, Azizah Buang, 64, dan Rahana Manan, 67, juga suri rumah.
Tambah Zuraidah, apabila anak-anak sudah dewasa barulah mereka berpeluang untuk meluangkan masa bersama tanpa perlu memikirkan keadaan keluarga.
"Sekarang barulah ada masa nak ‘cafe hunting’, jalan-jalan pergi melancong antara kami bertiga.
"Bila telefon pun dah makin canggih senang sikit, boleh buat kumpulan ‘WhatsApp’ dan itulah sebab nama ‘The Pretty Mamas’ dikenali,” ujarnya.
Zuraidah menasihati untuk sentiasa meminta maaf meskipun tidak melakukan kesalahan antara satu sama lain bagi memastikan hubungan persahabatan kekal terjalin.
Katanya lagi, setiap daripada mereka juga belajar untuk memaafkan dan sentiasa berkomunikasi untuk mengelakkan salah faham.
"Tiada manusia yang sempurna dalam persahabatan, mesti akan ada perselisihan faham. Tetapi, bila terjadi perkara seperti ini, sentiasa berdoa untuk ALLAH SWT memelihara hubungan ini sampai syurga,” tambahnya.