KOTA BHARU - Zaman dahulu tanjak hanya dipakai oleh golongan istana, bangsawan dan alim ulama, manakala marhaen yang memakainya boleh dikenakan hukuman.
Bagaimanapun, zaman berubah membolehkan pemakaian tanjak digayakan oleh sesiapa sahaja terutama lelaki dalam menaikkan seri si pemakai seperti ketika menjadi raja sehari mahupun semasa majlis keraian lain.
Pembuat tanjak, Mohamad Edry Sham Mohamad Nawi berkata, tanjak juga sebagai kain junjungan adalah warisan seni yang amat berharga dan perlu dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman.
Justeru, dia yang berusia 39 tahun mengambil keputusan untuk aktif menghasilkan pelbagai jenis tanjak terutama Getam Budur yang menjadi kebanggaan dan tradisi Kesultanan Kelantan.
"Seni membuat tanjak memerlukan kesabaran yang tinggi kerana pembuatnya ‘bermain’ dengan lenggok besi halus dan tajam iaitu jarum serta benang.
"Kreativiti untuk menghasilkan tanjak juga bergantung kepada kehalusan serta ketelitian seseorang pembuat tanjak.
"Penghasilan tanjak boleh memakan masa antara empat hingga paling lama 25 jam untuk menyiapkan satu-satu tanjak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bercerita lanjut, menurut Mohamad Edry Sham, mahal atau murah nilaian harga setiap tanjak yang dihasilkan juga bergantung kepada jenis kain, kesukaran lipatan dan bunga serta tempoh masa yang diambil untuk menyiapkannya.
Kata anak sulung daripada lima beradik itu, tanjak paling disayangi dalam koleksinya ketika ini ialah jenis Getam Budur bernilai ribuan ringgit.
Tanjak itu mengambil masa 25 jam untuk disiapkan kerana menggunakan kain sutera yang menuntut ketelitian serta kehalusan jahitan sangat tinggi.
"Kain tersebut ialah dari jenis songket Terengganu ditenun dengan benang sutera 12 warna.
"Harga kain songket itu cecah ribuan ringgit dan hanya dua pasang siap ditenun dalam setahun,” ujar Mohamad Edry Sham.
Menurut bekas pelombong bijih itu, dia juga menghasilkan tanjak kreasi sendiri diberi nama Ketam Naga yang menggabungkan warisan asal tanjak Getam Budur dan Naga Berlabuh dengan simpulan bunga yang lebih besar.
Selain itu, Mohamad Edry Sham turut menghasilkan tanjak jenis lain seperti Mahkota Alam, Anderiguru Selebu dan Naga Berlabuh selain tanjak-tanjak yang mampu milik.
"Tanjak dengan harga lebih rendah ini boleh didapati daripada jenis kain sarung, batik, pelekat dan broked.
"Dengan harga tanjak mampu milik sekarang ini akan lebih ramai mampu memiliki, menjaga dan mewarisi warisan tanjak ini,” katanya.