TUMPAT - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menahan seorang lelaki membawa 7,000 kilogram (kg) pakaian terpakai (bundle) dipercayai diseludup dari Thailand di sekat pintas Pos Nibong di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu sepasukan anggota telah menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh lelaki berusia 33 tahun semasa Op Taring Wawasan.
Iklan
Iklan
Komander Briged Tenggara, Senior Assisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat anggaran lebih 7,000kg bungkusan pakaian 'bundle' yang ditemukan dalam lori terbabit serta tidak mempunyai dokumen sah.
"Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup pakaian bundle tersebut ke pasaran tempatan," katanya pada Sabtu.
Menurut beliau, aggaran keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM350,000.
Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan diserahkan ke Kompeni Taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.