Jurutera Singapura berputih mata pelaburan RM1.9 juta lesap

Iklan
Seorang warga emas dari Singapura berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM1.9 juta lesap akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas dari Singapura berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM1.9 juta lesap akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, lelaki berusia 64 tahun dan masih bekerja sebagai jurutera itu pada mulanya melihat iklan pelaburan tersebut di laman Facebook dan telah menekan pautan berikan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Iklan
Iklan

Katanya, mangsa kemudiannya dimasukkan dalam satu group WhatsApp pelaburan serta diberikan penerangan mengenai cara-cara melabur.

"Mangsa diberitahu bahawa dia hanya perlu mengeluarkan modal sahaja manakala segala urusan pelaburan akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak syarikat dan dijanjikan pulangan antara lima peratus hingga 12 peratus daripada jumlah pelaburan dibuat.

Iklan

"Mangsa yang berminat dengan keuntungan dijanjikan memuat naik satu aplikasi yang diarahkan bagi tujuan pendaftaran, pemantauan status pelaburan dan keuntungan yang diperolehi.

"Pada Februari dan Mac 2024, mangsa mula melabur dengan jumlah keseluruhannya berjumlah RM1,948,000,” katanya.

Iklan

Mangsa bagaimanapun menyedari telah ditipu setelah gagal membuat pengeluaran wang keuntungan yang diperolehi sebagaimana dipaparkan dalam aplikasi dimuat turun bagi pelaburan berkenaan.

Malah, mangsa juga diarahkan membuat pelbagai bayaran lain termasuk cukai sekiranya mahu mendapatkan semula modal yang telah dilaburkan.

Kes disiasat bawah Seksyen 420/411 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 411 kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau denda dengan kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan pelaburan ditawarkan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Orang ramai juga disarankan membuat semakan dengan pihak berkuasa seperti suruhanjaya sekuriti dan Bank Negara Malaysia bagi mengesahkan sama ada sesebuah syarikat atau pelaburan yang ditawarkan itu dilesenkan dan mendapat kebenaran daripada agensi berkenaan.