Belanjawan 2025: Belia perlu bijak urus, guna peluang disediakan

Iklan
Golongan belia perlu bijak mengurus dan menggunakan peluang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 demi masa depan yang lebih baik.(Gambar hiasan) Foto 123rf

SHAH ALAM - Golongan belia perlu bijak mengurus dan menggunakan peluang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 demi masa depan yang lebih baik.

Presiden Majlis Belia Negara, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pihaknya akan memainkan peranan dalam memastikan semua inisiatif yang diumumkan memberi impak positif dan berkekalan kepada golongan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang menjadi antara teras penting dalam belanjawan akan memberi impak besar kepada lebih satu juta pekerja muda di Malaysia.

"Golongan belia khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini dalam menghadapi cabaran kos sara hidup," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 turut mengumumkan beberapa inisatif kepada golongan belia antaranya peruntukan RM20 juta menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Belia Kreatif Madani (RM30 juta), Program Rakan Muda (RM25 juta) dan Geran Padanan Sukan.

Dalam pada itu Mohd Izzat Afifi berpandangan, Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat' jelas menunjukkan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.

Iklan

Justeru menurutnya, golongan berkenaan akan terus menjadi pemacu utama kemajuan negara dan penggerak transformasi yang inklusif.

"Daron Acemoglu dalam kajiannya dengan tegas memperlihatkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan inklusif hanya akan tercapai apabila seluruh rakyat termasuk belia, diberi ruang untuk menyumbang secara aktif.

"Ini adalah asas kepada kejayaan Ekonomi Madani yang digariskan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025," ujarnya.


Johor hargai JS-SEZ disebut dalam Belanjawan 2025

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan perhatian khusus yang diberikan terhadap inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, inisiatif berkenaan bakal menjadi antara langkah penting yang diketengahkan dalam belanjawan kali ini.

Malah katanya, insentif-insentif menarik yang ditawarkan melalui Zon Kewangan Khas (SFZ), dilihat bakal memperkukuhkan lagi daya saing ekonomi negeri Johor.

"Inisiatif JS-SEZ menjadi salah satu langkah penting yang diketengahkan dalam belanjawan ini di samping insentif menarik yang ditawarkan melalui Zon Kewangan Khas (SFZ) yang akan memperkukuhkan lagi daya saing ekonomi Johor.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada Kerajaan Persekutuan di atas pengumuman kesinambungan projek-projek pembangunan di Johor seperti pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Hospital Sultanah Aminah 2, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan lain-lain.

"Semoga segala perancangan dan usaha ini dapat memberikan manfaat kepada Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya pada Sabtu.

Sementara itu menurut Onn Hafiz, pembentangan Belanjawan Johor 2025 tidak lama lagi akan menyentuh pelbagai inisiatif, perancangan, bantuan dan pembangunan.

"Belanjawan Johor 2025 kali ini akan memberikan manfaat serta keyakinan bahawa kerajaan negeri memandang serius tentang kepentingan rakyat,” katanya.