MAH Melaka dakwa terkilan Belanjawan 2025 tidak menyeluruh

Iklan
Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan tidak menyeluruh terutama dalam membela nasib pengusaha hotel.(Gambar hiasan) Foto 123rf

MELAKA - Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan tidak menyeluruh terutama dalam membela nasib pengusaha hotel.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim berkata, ini kerana tiada sebarang pengumuman dalam membantu menangani masalah golongan itu terutama untuk mengurangkan kos operasi yang semakin meningkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai wakil yang membawa suara pengusaha hotel, dia melihat tiada sebarang insentif atau pengecualian cukai untuk membantu mengatasi kelembapan perniagaan ketika ini.

"Yang diumumkan adalah gaji minimum sektor swasta yang dinaikkan kepada RM1,700.

Iklan

"Kami agak kecewa dan ini hanya menambah beban kewangan hotel," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Tambahnya, MAH juga tidak melihat peruntukan RM550 jjuta yang diumumkan Perdana Menteri untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 akan memberi manfaat secara langsung kepada mereka.

Iklan

Ujarnya, ini kerana mereka masih perlu membiayai sendiri semua aktiviti promosi sedangkan apa yang diharapkan adalah beberapa jenis pengecualian cukai akan diumumkan.

"Tiada juga disebut pengecualian cukai pendapatan yang dinikmati hotel satu hingga tiga bintang untuk diperluaskan kepada hotel empat dan lima bintang yang lain.

"Malah di bawah pengecualian itu, hotel satu hingga tiga bintang sahaja diberikan pelepasan cukai pendapatan 70 peratus selama lima tahun tetapi ini tidak terpakai untuk hotel empat dan lima bintang," katanya lagi.

Jelasnya, lebih terkilan apabila tiada juga faedah diumumkan untuk menggalakkan pemain industri mengamalkan teknologi hijau, inovasi digital dan menyediakan insentif untuk pembangunan sumber manusia.

"Jadi ramai antara kami merasakan harapan kami dalam Belanjawan 2025 ini seperti diabaikan.

"Sedangkan kami sentiasa menyuarakan kebimbangan mengenai isu yang dihadapi dalam setiap pertemuan dengan kementerian berkaitan sejak beberapa tahun lalu," ujarnya.