SHAH ALAM - Keputusan kerajaan mengekalkan komitmen terhadap subsidi bersasar dan rasionalisasi badan berkanun dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengelakkan pembaziran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, pendekatan itu menunjukkan tekad kerajaan untuk tidak tunduk kepada desakan populis sebaliknya menumpukan kepada pengurusan fiskal yang mampan.
"Dengan langkah ini, kerajaan dapat mengurangkan defisit tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat, khususnya melalui pengagihan subsidi dan bantuan yang lebih efisien.
"Secara keseluruhan, saya percaya Belanjawan 2025 ini adalah sebuah belanjawan komprehensif yang bertepatan dengan konsep ekonomi Madani.
"Sejumlah besar wang diperuntukkan untuk meningkatkan siling yakni usaha menstruktur semula asas ekonomi bagi memacu pertumbuhan tanpa meninggalkan aspek menaikkan lantai dengan pelbagai usaha meningkatkan darjat kesejahteraan hidup rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, belanjawan kali ini tidak bersifat populis sebaliknya memberi tumpuan kepada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pendekatan itu jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap prinsip manusiawi dan kesaksamaan dengan memastikan faedah ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
"Salah satu inisiatif penting ialah pembinaan 44 sekolah baharu yang merupakan langkah strategik untuk menangani isu akses pendidikan terutama di kawasan yang kurang mendapat perhatian.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembangunan modal insan tetapi juga mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Tambahnya, pelaburan dalam sektor pendidikan itu seiring dengan usaha memperkukuh latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi.
Selain itu katanya, penekanan kepada golongan berkeperluan khas melalui pembinaan lebih banyak pusat autisme mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan kumpulan itu bagi memastikan mereka dan keluarga menerima sokongan diperlukan.
"Ia adalah satu usaha signifikan bagi menggalakkan kesaksamaan sosial dan memberikan peluang pendidikan serta terapi terbaik kepada golongan ini," katanya.
Menerusi Belanjawan 2025 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat merekod sejarah sebagai dokumen belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan kerajaan dengan nilai keseluruhan RM421 bilion.
Belanjawan kali ini meliputi RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan (RM86 bilion) dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.
Pengumuman terbesar yang menjadi tumpuan rakyat terarah kepada keputusan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, sesudah rasionalisasi subsidi diesel dikuatkuasakan pada tahun ini.
Anwar bagaimanapun memberi jaminan untuk mengekalkan subsidi majoriti 85 peratus rakyat marhaen, sebagaimana pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dengan anggaran berjumlah RM12 bilion